Tahun baru 2009 yang baru melangkah kini diselubungi beberapa perkara dan kejadian yang tidak berapa elok untuk didendangkan. Gempa bumi berlaku disana sini setiap hari, kesan-kesan kemelesetan ekonomi semakin ketara dirasai dan keganasan demi keganasan berlaku di bumi Palestin serta pengeboman merata-rata di banyak negara membuatkan kita termenung seketika memikirkan nasib di tahun baru ini.
Apa yang paling menyedihkan ialah apabila melihatkan kekejaman regim ganas Israel yang terus menyerang bumi berdarah Palestin yang telah mengorbankan hampir 600 orang penduduknya yang satu agama dengan kita sehingga kini. Masyarakat dunia pada masa kini hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa tindakan yang boleh menghalang nafsu serakah Israel tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab terhadap keamanan dunia pula disekat oleh Amerika Syarikat yang terkenal dengan sekutu kuat Israel. Walaupun demontrasi telah dilakukan oleh seluruh masyarakat dunia, namun semuanya tidak dihiraukan dan seolah-olah tidak memberi kesan langsung kepada pergolakan yang berlaku di Gaza City tersebut, malah tentera yahudi semakin rakus memasuki bumi Palestin melalui jalan darat.
Kumpulan Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza pada masa kini dilihat sebagai punca kepada pergolakkan yang berlaku di sana. Tapi semua itu adalah propaganda yang disebarkan oleh Israel dan sekutunya kerana semua masyarakat dunia maklum bahawa kejadian yang sebenarnya adalah sebaliknya.
Pada ketika ini, kereta kebal dan pasukan tentera Israel sedang bertempur dengan pejuang Hamas dalam serangan darat yang dilancarkan oleh regim Yahudi itu sejak lewat Sab tu lalu selepas lapan hari bedilan udara gagal menghentikan serangan roket ke atas negara Yahudi itu. Pejuang Hamas pula telah memberi amaran bahawa pejuang-pejuangnya akan menjadikan Gaza sebagai tanah perkuburan Israel.
Ratusan rumah telah runtuh dan musnah, yang lebih malangnya ialah tentera Israel telah menyerang dan mengebom dengan mengunakan bahan kimia yang menjeruskan kemusnahan genetik dan saraf penduduk Gaza. Tujuan utamanya hanyalah untuk melumpuhkan Hamas dan mengambil alih Semenanjung Gaza serta pentadbiran dari pemimpin Hamas. Sebaik sahaja Israel menyerang Gaza, pemimpin Palestin yang pro Amerika dan Israel Mahmud Abbas menyahut dengan megah malah merancang semula Gaza.
Apa yang paling trajis dan mengejutkan lagi ialah Mahmmud Abbas khabarnya telah diberi taklimat terlebih dahulu oleh perisik Israel sebelum Israel membunuh penduduk Gaza. Sungguh sukar untuk dimengertikan, Negara Mesir yang dipimpin oleh Hosni Mubbarak pula tidak mahu membuka sempadan negaranya di kawasan Senai dan Gaza. Perkara ini sungguh mengaibkan dimana negara Mesir jelas bersama dengan Israel malah turut sama memberi bantuan lojistik untuk tentera Israel.
Di New York, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon terus mendesak agar keganasan itu dihentikan dan mahu Israel membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah Hamas yang dikuasainya, namum telah dibantah oleh Amerika Syarikat yang terkenal dengan pro yahudi sejak dahulu lagi. Manakala Barrack Obama yang bakal menjawat jawatan Presiden Uncle Sam tersebut pada 20 Januari nanti hanya membisu dan dikatakan akan mengeluarkan pendangannya berkaitan kejadian tersebut apabila beliau secara rasmi menjawat jawatan panas tersebut nanti.
Bilakah kejadian berdarah yang berlaku di Gaza City ini nanti akan berakhir, sejak sekian lama penduduk Palestin telah bermandikan darah disebabkan kekejaman yang dilakukan secara berterusan oleh tentera yahudi? Sebagai umat Islam, apakah yang telah dilakukan oleh kita bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menghentikan penaklukan oleh tentera Israel tersebut? Sesungguhnya perjuangan tersebut adalah sangat mulia disisi Allah sepertimana yang telah dicatatkan dalam kitab suci Al-Quranul Karim.