Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak harus dipersalahkan dalam kemelut politik di Perak kerana baginda telah mengamalkan prinsip dan semangat demokrasi yang sama ketika melantik Menteri Besar daripada pembangkang dan juga BN.
Perdana Menteri berkata beliau sendiri juga tidak harus dipersalahkan kononnya menjadi punca kepada krisis itu yang sudah berlarutan lebih tiga bulan.
"Dalam amalan demokrasi kita, rakyat akan memilih wakil rakyat dan Sultan pula akan melantik menteri besar daripada kalangan calon yang mewakili parti yang mendapat majoriti, sebagai menteri besar,"
Najib berkata dalam urusan melantik menteri besar, Sultan Perak telah menggunakan prosedur yang sama ketika melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari BN sebagai menteri besar, seperti juga ketika baginda melantik Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS selepas pilihanraya umum 2008.
Selepas pilihanraya umum itu, katanya, Sultan Azlan Shah melantik Nizar setelah mendapat pengakuan daripada majoriti ADUN yang mencadangkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar.
Selepas parti-parti pembangkang kehilangan majoriti, baginda telah melantik pula calon menteri besar yang dikemukakan oleh BN setelah tiga ADUN pembangkang, beralih menyokong BN dan membuat pengakuan akan terus menyokong cadangan pelantikan Dr Zambry.
"Jangan salahkan Tuanku. Dalam pilihanraya umum 2008, BN adalah parti tunggal di Perak yang mendapat majoriti DUN dengan 28 kerusi...pakatan pembangkang tidak berdaftar dan tetap berupa tiga parti berasingan.
"Pada masa itu kalau Tuanku nak lantik Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali (bekas Menteri Besar) pun Tuanku ada hak kerana BN adalah parti tunggal yang mendapat majoriti terbesar. Tuanku, atas semangat demokrasi berasaskan ketetapan yang dibuat oleh wakil rakyat daripada tiga parti pembangkang...(setelah) Tuanku dapat surat pengakuan mereka, maka Tuanku pilih Nizar sebagai menteri besar," jelas Najib.
Perdana Menteri berkata namun kini pembangkang sudah hilang majoriti DUN dan Sultan Azlan Shah melantik Dr Zambry yang dicadangkan oleh BN, menggunakan kaedah yang sama dan berasaskan prinsip yang sah tanpa melanggar sistem demokrasi dan perlembagaan.
"Ia berlaku melalui proses yang selaras dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan sistem demokrasi berparlimen. Ini mesti diterangkan dan sebab itu saya kata pilihanraya adalah satu opsyen dan budi bicara... bukan (hal yang) semestinya. Yang menjadi masalah, dia (pembangkang) tidak terima dan menyusahkan proses ini berjalan seperti yang dilakukannya dalam DUN.
"Siapa suruh gantung MB dan Exco BN. Ini bertentangan dengan semangat demokrasi berparlimen. Kalau macam ni kita (BN) ada majoriti di Parlimen... kita boleh gantung 20 ahli Parlimen pembangkang kalau kita mahu. Dengan prinsip yang sama (dengan di DUN Perak), kita ada kuasa... budi bicara, kita buatlah sesuka hati kita," kata Najib.
"(Namun) Pembangkang pertikaikan pelantikan Dr Zambry dan bawa ke mahkamah. (Adakah) Kita bawa ke mahkamah bila dia gantung ADUN (BN). Masuk akal ke dalam sistem demokrasi, bila ada majoriti, Speaker boleh gantung enam orang. Jika begitu kita pun boleh gantung enam orang," katanya.
Perdana menteri menegaskan BN tidak merampas kuasa di Perak kerana peralihan kerajaan dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang, yang jika diterima oleh semua pihak akan jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN sekarang boleh mentadbir negeri Perak kerana mendapat majoriti yang cukup
"Jangan lupa pada 16 September lalu siapa yang cuba nak curi 21 ahli Parlimen kita. Dia (pembangkang) lakukan perkara sama, tetapi apabila gagal dan kita pula berjaya di Perak, kita pula yang dikatakan tidak demokratik. Kita pula yang dituduh merampas kuasa.
"Percubaan merampas kuasa yang pertama dilakukan oleh pakatan pembangkang tetapi tak berjaya... bukan kita (BN) yang memulakan," tegas Najib.
Mengenai tindakan melompat parti, Najib berkata hal itu dibenarkan oleh undang-undang dan berlaku di negara lain seperti bekas Perdana Menteri Britain Sir Winston Churchill yang beberapa kali bertukar parti dan terbaru seorang senator di Amerika Syarikat juga melompat parti.
Sementara itu, Najib berkata, beliau akan menetapkan tarikh pertemuan dengan pemimpin Pakatan Rakyat jika mereka tidak mengenakan sebarang syarat dalam mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Perak.
"Kalau setakat nak berbincang, kita boleh bincang, tidak ada masalah. Saya sedia bertemu tapi jangan ada syarat. Nanti kita tetapkan tarikhnya dan masa yang sesuai," katanya.
Pemimpin Pakatan dilaporkan mahu beliau menetapkan tarikh pertemuan itu tetapi mereka berpendirian bahawa jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis politik itu ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak agar pilihanraya negeri dapat diadakan.
"Saya tak menolak apa-apa. Kalau nak jumpa boleh, tetapi tidak semestinya bubar (DUN). Pembubaran itu satu opsyen dan tak bubar pun satu opsyen yang boleh kita lihat juga," tambah Najib.
Perdana Menteri berkata beliau juga perlu tahu siapa dan berapa orang pemimpin pembangkang yang ingin menghadiri pertemuan itu.
Menjawab soalan mengenai saranan supaya beliau menasihati Sultan Perak Sultan Azlah Shah agar membubarkan DUN Perak, Najib berkata keputusan itu adalah hak baginda.
Mengenai adanya pemimpin komponen BN sendiri yang setuju jika DUN Perak dibubarkan, Perdana Menteri berkata perbezaan pendapat seperti itu adalah satu perkara biasa.
"Tetapi hakikatnya ialah apa yang kita buat hendaklah tidak bertentangan dengan prinsip dan undang-undang negara serta peraturan dewan," katanya.
Di Petik dari Malaysiakini 15 Mei 2009