1. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kepada penganjur perhimpunan ini kerana menjemput saya dan memberi peluang kepada saya untuk berucap kepada hadirin.

2. Saya yakin ramai daripada kita yang hadir, terutamanya orang Melayu dan bumiputra lain, hadir kerana kita berasa kita berada dalam keadaan cemas, keadaan yang merbahaya, keadaan terancam.

3. Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak.

4. Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang.

5. Melayu mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan.

6. Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain.

7. Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu dasar Ekonomi Baru lagi.

8. Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.

9. Kuasa politik dibolot oleh orang Melayu dan lain-lain.

10. Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan ini Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist. Mereka harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Mereka juga boleh tambah tokok kepada kecaman ini dan mereka ini akan dianggap liberal dan disanjung tinggi oleh orang lain. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walaupun kesalahan dilaku oleh orang lain.

11. Demikianlah situasi yang mereka hadapi sehingga mereka berasa mereka bersalah, tergamam dan tak dapat berkata apa-apa.

12. Keadaan hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh kita sebagai racist. British pun tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum laim yang berhak membuat apa-apa perjanjian.

13. Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea, negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India. Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja.

14. Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian, mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata Melayu kaum pendatang.

15. Namun saya memberanikan diri untuk bercakap sedikit berkenaan orang Melayu di Malaysia walaupun akan dituduh sebagai racist. Saya beranikan diri kerana sesungguhnya orang Melayu berada dalam keadaan cemas, dilanda oleh bermacam-macam masalah dan ancaman. Jika orang Melayu tidak dibenar bercakap berkenaan masalah mereka, maka mereka mungkin jadi kaum yang terlucut hak (dispossessed) di negara mereka sendiri. Bahaya ini benar kerana kita sudah lihat tekanan dan kehinaan terhadap bangsa kita apabila mereka dijadikan bangsa minoriti di wilayah yang dahulu adalah sebahagian daripada negeri-negeri Melayu.

16. Keadaan ini boleh berlaku kepada orang Melayu bukan sahaja kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu sendiri. Mereka suka membinasakan diri mereka.

17. Mereka tidak mahu merebut peluang yang disedia bagi mereka. Tempat di universiti tidak diambil. Peluang perniagaan diselewengkan. Belia Melayu tidak ingin belajar, lebih berminat dengan melepak atau jadi Mat Rempit.

18. Majoriti daripada rakyat Malaysia yang terlibat dengan dadah terdiri daripada orang Melayu, yang mendapat penyakit HIV Aids kebanyakan adalah Melayu, kes rogol dan jenayah lain juga ramai orang Melayu.

19. Yang gagal dalam perniagaan juga Melayu, tidak bayar hutang Melayu, tak selesaikan kontrak juga Melayu.

20. Gejala jualan AP pun melibatkan Melayu.

21. Kita tak suka dengar semua ini. Kita malu. Tetapi jika tidak disuarakan masalah tidak akan hilang dengan sendirinya. Orang lain tahu juga. Lebih baik malu jika kita dapat sedarkan beberapa kerat daripada kita dan mereka mengubah tabiat supaya tidak melakukan yang salah lagi. Yang lain tak malu tak mengapa. Tak mungkin kita dapat sedarkan semua. Yang kena akan terus kena.

22. Dasar Ekonomi Baru dibentuk supaya dalam jangkamasa 20 tahun kita akan dapat bahagian kita sebanyak 30%. Tetapi sekarang sudah hampir 40 tahun. 20% yang dikatakan kita dapat pun dapat kerana badan-badan yang mewakili Melayu, bukan orang Melayu sendiri. Kita hendak supaya DEB diteruskan. Apa gunanya jika kita tidak mahu guna peluang yang diwujudkan? Apakah kita mahu DEB kerana nak jual AP, kontrak, lesen dan sebagainya? Lebih baik DEB tidak diteruskan dan kita tidak dapat selewengkannya. Sekurang-kurangnya kita tak akan malu kerana pelbagai ejekan yang akan dibuat kepada kita.

23. Kita bernasib baik kerana dalam bidang politk kita cekap, kita kuat, kita dapat menguasai Kerajaan selama 50 tahun. Walaupun Melayu berpecah kepada beberapa parti, bermusuh sesama sendiri, tetapi majoriti Melayu masih dapat kekalkan kuasa mereka. Mereka dihormati dan disegani.

24. Tetapi itu pun sudah terlepas daripada genggaman kita. Sekarang kita tidak kuat lagi. Parti Melayu yang terkenal sudah kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12. Parti Melayu yang menangpun berada dalam ketakutan jika parti rakan mereka menolak mereka. Sekarang orang tidak lagi hormat kita. Apa sahaja yang dituntut orang lain, baik yang menang, baik yang kalah akan kita layan. Kita yang perlu hormati orang lain. Tersilap sikit kita minta maaf bagi pihak semua bangsa Melayu.

25. Sesungguhnya pemimpin kita yang perjuangkan kemerdekaan, yang menebus maruah kita sudah kita khianati. Mereka berjuang bermati-matian supaya kita hidup bahagia. Mereka korbankan apa sahaja yang ada pada mereka. Pemimpin Melayu hari ini, pengikut –pengikut mereka tidak tahu mengenang budi. Mereka khianati pejuang-pejuang dahulu dengan melupakan perjuangan asal kerana utamakan kepentingan diri sendiri. Biar bangsa hancur asalkan dapat kemenangan bagi diri sendiri, dapat jadi Menteri, Perdana Menteri, dapat kontrak, dapat duit.

26. Kononnya nak jadi Perdana Menteri termuda. Bukan nak majukan bangsa dan negara, hanya jawatan tertinggi untuk diri sendiri seawal mungkin. Dengan apa cara sekalipun, halal atau haram, tak mengapa asalkan boleh jadi Perdana Menteri termuda.

27. Jika kita sudah sanggup jual bangsa kita, kita jual untuk dapat duit sedikit, untuk jawatan kecil dan besar, untuk isi temolok kita, alamatnya apa? Yang dikejar tidak akan dapat, yang dikilik akan berciciran. Lepas itu kita tidak ada apa-apa yang boleh diraih lagi. Semuanya akan dikuasai orang. Pada masa itu kita jadi hamba sahaja, kita akan meminta-minta sepanjang masa.

28. Ada pula yang dibawah bertanya, orang yang mereka sokong dapat jadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar – dapat kereta, dipanggil Yang Berhormat, elaun besar, terbang sana, terbang sini.

29. Kita dapat apa? Duduk di takuk tu juga. Lebih baik kita ambil sedikit bagi diri kita, sementara ada peluang.

30. Salahkah kalau kita terima duit sedikit? Mungkin kita tidak undi orang yang menyogok. Dia bukan tahu. Tetapi Tuhan tahu. Kamu membuat sesuatu yang haram. Kamu bukan sahaja jual bangsa. Kamu menolak agama kamu yang melarang, yang mengharamkan perbuatan kamu. Kamu berdosa.

31. Tapi tak mengapa. Masih muda, tak akan mati lagi. Bila dekat nak mati pakai kopiah putih dan sembahyang kuat-kuat.

32. Tetapi yang haram, haram juga. Kalau makan daging bibi haram, makan duit rasuah lebih haram, kerana ia akan binasakan bukan kita sahaja, tetapi kaum bangsa kita yang semuanya beragama Islam.

33. Pengundi salah, samada undi penyogok atau tidak. Salah kerana sudah terima jenayah rasuah sebagai budaya kamu. Apabila rasuah dibudayakan, percayalah bangsa dan negara mungkin dijajah oleh penyogok secara langsung atau tidak langsung. Bangsa akan dihina oleh dunia, akan dipandang rendah, akan dipermainkan orang. Akhirnya yang makan suap, mereka sendiri akan jadi mangsa, mereka sendiri akan terpaksa hulur untuk mendapat apa yang sebenarnya hak mereka. Inilah nasib bangsa yang menjadikan rasuah sebagai budaya biasa.

34. Sesungguhnya Melayu mudah lupa. Kita lupa betapa kita dijajah dahulu, kita terpaksa panggil tuan orang yang menjajah kita, orang yang menghina kita. Tak boleh cakap berkenaan ketuanan Melayu. Kamu jadi hamba dahulu, bukan Tuan, layak hanya untuk tanam padi, tangkap ikan, jadi kuli orang, bawa kereta orang, tukang masak orang.

35. Selama 450 tahun kita dijajah, hidup sebagai hamba, dianggap tidak layak mentadbir negara sendiri, tidak layak merdeka.

36. Kita terpaksa letak diri kita dibawah naungan negara-negara jiran yang lebih kuat.

37. Tiap tahun kita usung bunga emas dan perak untuk dipersembahkan kepada negara penaung-penaung kita.

38. Kadang-kadang Raja kita pun pergi bersama, untuk membukti kesetiaan diri dan negeri kepada negara penanung.

39. Kata orang Kedah “Terkerempun-kerempun” apabila berhadapan dengan orang asing. Mungkin ramai yang tidak faham. Tanyalah orang Kedah. Itulah “body language” kita dahulu walaupun hari ini ada juga, tetapi pada Raja yang tak bertakhta.

40. Saya biasa lihat seorang orang tua Melayu berbasikal di tendang jatuh oleh askar Siam semasa Kedah diberi kepada Siam oleh Jepun. Kesalahan orang tua ini ialah kerana tidak berhenti dan menghormati lagu kebangsaan Siam.

41. Saya biasa lihat orang Melayu ditempeleng dan disuruh panjat pohon kelapa seperti kera oleh Jepun. Inilah nasib orang yang tidak merdeka, tidak memerintah negara sendiri. Boleh ditendang, boleh ditempeleng.

42. Dan yang lihat diam sahaja, tak dapat buat apa-apa, termasuk saya. Dalam kehinaan ini muncul kesedaran dan semangat untuk menebus balik maruah bangsa. Dan bergabunglah orang Melayu untuk menangkis rancangan Malayan Union British, untuk mengekalkan perhambaan orang Melayu. Tidak siapa yang bertanya “apa yang saya akan dapat bagi diri saya” pada ketika itu. Yang kita tumpukan ialah untuk membebaskan bangsa dan negara daripada dijajah dan dihina. Kalau dalam proses ini kita terkorban, atau kita berada seperti biasa, itu tidak mengapa. Yang kita utamakan ialah maruah bangsa kita, tidak lagi akan ditendang, tidak lagi akan ditempeleng – tetapi akan dihormati oleh kawan dan lawan.

43. Sekarang kita merdeka. Perjuangan pengasas negara telah berjaya. Kita tidak akan ditendang dan ditempeleng lagi. Kita bebas daripada kehinaan. Memang pun keadaan terhormat ini sudah menjadi perkara biasa bagi kita. Bagi ramai dari kita ia datang bergolek. Ia datang melayang. Ia tidak akan dipisah dari kita.

44. Perjuangan orang dahulu adalah perkara lama, tidak perlu diingati. Yang jelas kita sudah merdeka, dapat pelajaran dan kaya sedikit. Soal tendang, tempeleng, itu cerita lama. Pepatah Melayu berkata sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Apa pun kita buat merdeka tetap merdeka. Sekarang ialah masa untuk kita “enjoy”. Kita kecap sepenuhnya nikmat yang ada pada kita.

45. Apa dianya semangat ke-Melayuan? Apa relevannya? Bukankah kita sudah berjaya? Hendak semangat buat apa lagi? Masuk parti untuk apa? Perjuangan sudah selesai dengan jayanya.

46. Tidak bermakna masuk parti jika tidak dapat sesuatu bagi diri sendiri. Kita sokong orang dapat jadi Yang Berhormat, jadi Menteri, dapat peluang raih duit kerajaan dan lain-lain. Kita tak bolehkah dapat sikit bagi diri kita?

47. Tetapi benarkah kita akan merdeka selama-lamanya? Memang benar. Walaupun kita tidak buat apa-apa untuk mengekalkan kemerdekaan, bukankah sudah 50 tahun kita merdeka? Apa yang hendak dikhuatirkan? Lima puluh tahun, 100 tahun lagi pun kita akan merdeka walau apa pun kita lakukan. Takkanlah kerana kita ambil 100 Ringgit duit sogokan maka akan hilanglah kemerdekaan kita? Kita boleh sembahyang hajat dan terima 100 Ringgit lagi. Orang lain terima lebih daripada kita., katanya satu juta. Masih kita merdeka. Tidak benar kerana sedikit rasuah kemerdekaan akan hilang.

48. Tetapi ingatlah penjajahan tidak selalu berbentuk penaklukan secara langsung. Penjajahan boleh berlaku walaupun kita miliki pemerintahan sendiri. Ia boleh berlaku apabila pemerintah kita yang dipilih dan diberi kuasa oleh kita sudah menjual diri mereka kepada orang lain, samada dari dalam negeri atau dari luar. Atau takut jiran marah.

49. Pemerintah yang mengikut telunjuk orang lain bukan bebas lagi. Pemerintah yang menjadi pemerintah melalui rasuah akan benar diri mereka disogok kerana perlu mendapat kewangan yang cukup untuk membeli sokongan lagi supaya kedudukan mereka sebagai pemerintah akan kekal.

50. Untuk mendapat sogokan yang cukup mereka akan sanggup ikut arahan penyogok. Dengan perkataan lain mereka akan jadi alat pada penyogok.

51. Kepentingan penyogok tidak sama dengan kepentingan kita, atau kepentingan bangsa dan negara.

52. Kita sudah lihat hanya kerana hendak kekal sebagai pemerintah, ada yang sanggup layan apa sahaja arahan, tuntutan, desakan oleh pihak yang menentukan jawatan bagi kita. Kalau pun apa yang dituntut merugikan orang Melayu, itu tidak mengapa asalkan kita dapat jawatan, walaupun sebagai “figurehead”, patung sahaja, tidak berkuasa pun.

53. Jika kita terjemah keadaan ini kepada jawatan yang didapati kerana disogok apakah yang tidak sanggup kita buat? Jual bangsa, jual negara pun kita sanggup.

54. Apabila kita sudah jual bangsa dan negara apakah kita merdeka lagi? Sudah tentu tidak.

55. Justeru itu tidak benar kepercayaan kita bahawa sekali merdeka selama-lamanya merdeka. Pada permukaannya kita merdeka tetapi pada hakikatnya kita sudah kembali dijajah. Apabila kita kembali dijajah maka kita sudah khianati pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu.

56. Itulah kenyataan yang sebenar.

57. Melayu mudah lupa. Kata seorang ahli falsafah; “Mereka yang lupa akan sejarah mereka akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.

58. Inilah hasil daripada mudah lupa. Kita lupa bahkan kita tidak suka diperingati akan sejarah kita. Apa kena-mengena peristiwa 50 tahun dahulu? Apa kena-mengena dengan kita akan kemiskinan Melayu, dengan kedaifan mereka dalam bidang ilmu dan profesyen di masa dahulu? Itu dahulu, ini sekarang. Sudah tentu sejarah penjajahan kita dahulu tidak ada kena mengena dengan keadaan kita sekarang. Tidak ada pelajaran yang akan kita dapati daripada sejarah 100, 500 tahun dahulu. Itu semua cerita dongeng.

59. Apa yang kita lakukan sekarang, kita lakukan kerana kita sudah merdeka dan selamat. Buatlah apa pun kita tetap selamat, tetap merdeka.

60. Jadi penagih dadah, jadi pelepak, jadi “Mat Rempit”, jadi penjenayah pun tak mengapa.

61. Bukankah kita yang memilih dan membentuk Kerajaan? Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kita. Jika kerana amalan buruk kita, sesuatu yang tidak baik menimpa kita, bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan pilihan kita untuk menyelamatkan kita?

62. Jika kita diserang orang bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan yang kita pilih untuk menangkis serangan ini?

63. Jika kerana Kerajaan yang kita pilih terdiri daripada orang yang sogok duit pada kita dan mereka pula disogok oleh orang lain dan mereka berasa lebih terikat kepada yang menyogok mereka dan kurang bertanggungjawab kepada kita kerana sokongan kita mereka dapati kerana kita terima sogokan, apakah yang dapat kita buat? Tak banyak. Hanya menerima sahaja.

64. Akan menjadi lebih buruklah nasib kita sepanjang masa.

65. Hakikat yang sebenar ialah sokongan kita, undi kita yang kita jual tidak lagi mengikat mereka yang kita pilih untuk jadi Kerajaan.

66. Mereka akan anggap balasan kepada sokongan kita sudah pun dibuat melalui wang sogokan daripada mereka.

67. Sesungguhnya nasib kita ada di tangan kita. Jika nasib ini tidak baik kitalah yang harus berusaha untuk memperbaikinya. Ingatlah, Tuhan telah berfirman yang Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubah nasibnya.

68. Apakah kita sedang berusaha untuk memperbaiki nasib kita? Tidak ternampak satu pun usaha ke arah ini. Yang kita lihat ialah perbuatan merosakkan lagi keadaan nasib yang sudah buruk ini.

69. Kita tahu yang kita lakukan bukan untuk memperbaiki keadaan. Tetapi kita lakukan juga untuk kepentingan semasa kita. Masa depan soal lain.

70. Pejuang-pejuang kemerdekaan telah pilih demokrasi sebagai cara kita memerintah. Kenapa?

71. Sebabnya ialah kerana mereka percaya majoriti daripada rakyat tentulah bijak dalam amalan mereka, tentulah tahu antara yang baik dengan yang buruk, tentulah bijak semasa membuat pilihan.

72. Pengasas kemerdekaan percaya majorti akan tahu pilih apa yang baik bagi mereka. Sudah tentu mereka akan menolak orang yang hanya bergantung kepada sogokan untuk dipilih.

73. Tetapi mereka tidak sangka pewaris mereka, sebilangan yang tidak kecil akan tolak kebaikan dan mengutamakan sogokan untuk menentukan siapa akan memerintah mereka.

74. Pejuang kemerdekaan yang sedar betapa sukarnya bagi orang Melayu mendapat peluang dan bantuan dahulu dan dengan kerana itu Melayu tidak berjaya.

75. Dengan kesedaran ini mereka merangka untuk mengadakan lebih banyak peluang dan sokongan kepada bangsa mereka supaya bangsa mereka boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain, bahkan dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka percaya semua peluang dan sokongan akan direbut oleh pewaris daripada bangsa mereka.

76. Ya, mereka ini kebanyakan sudah tidak ada, sudah tinggal kita. Tetapi jika mereka ada apakah perasaan mereka? Tentulah mereka akan kecewa dan hampa amat sangat kerana segala-gala yang mereka ilhamkan sudah dipermainkan oleh pewaris mereka, tidak dihargai oleh pewaris mereka.

77. Mereka melihat bagaimana peluang dan bantuan disalahgunakan atau ditolak dengan begitu sahaja. Sepatutnya dengan peluang belajar di semua peringkat bangsa mereka sudah jadi bangsa yang berilmu. Dengan peluang berniaga mereka sudah jadi kaya, atau sekurang-kurangnya tidak miskin.

78. Tetapi tidak. Peluang bukan sahaja tidak direbut tetapi peluang digunakan secara yang boleh merosakkan bangsa. Mereka lepak, mereka jadi Mat Rempit, yang lakukan jenayah yang kadang-kadang menyebabkan kematian mangsa mereka.

79. Diberi peluang berniaga, diberi modal, diberi latihan tetapi kerana ingin kaya cepat mereka memperdagangkan peluang, kontrak, lesen, permit dan sebagainya.

80. Modal mereka guna untuk belanja bagi memenuhi nafsu, hutang mereka tidak dibayar. Kerana kelakuan beberapa daripada mereka, bangsa mereka dicap sebagai bangsa yang tidak beramanah, dan tidak boleh dilayan, tidak boleh diharap dengan duit ringgit.

81. Dan banyaklah lagi perbuatan mereka yang tetap mengecewakan pejuang bangsa dahulu.

82. Kata mereka, jangan buka pekong di dada.

83. Malu kata mereka.

84. Tetapi tidakkah lebih malu apabila mereka lakukan apa yang telah saya sebutkan. Tak buka pekong pun busuk juga. Biarlah pekong di dada dibuka supaya kerana bau terlalu busuk kita akan cuba melepaskan diri daripadanya. Jika tidak ia akan menjadi lebih busuk di dalam dan akan bunuh kita.

85. Semua yang disebut ini menjadi pengkhianatan kepada pejuang bangsa dahulu. Kerosakan kerana ini lambat laun akan merosakkan masa depan kita.

86. Tetapi yang terdahsyat diantara amalan buruk kita ialah rasuah, terutama rasuah politik. Politiklah yang dapat memberi kuasa walaupun pada yang lemah dan miskin. Politik kita sewaktu perjuangan untuk kemerdekaan berjaya memberi kekuatan kepada Melayu sehingga mereka yang daif ini dapat mengalahkan kuasa besar dunia. Hanya dengan bersatu dan bertindak bersama, hanya dengan pendirian yang tegas kelemahan dapat diatasi dan kejayaan dicapai. Sesungguhnya kuasa politik kuasa ajaib.

87. Selagi ada kuasa ini kepada kita, percayalah kita akan dapat pulih segala-galanya, kita akan dapat mengatasi kelemahan kita, kita akan dapat tentukan masa depan kita.

88. Tidakkah kita lihat bagaimana daripada bangsa yang dijajah dan dihina, kuasa politik sudah mengubah nasib kita demikian sehingga kita dianggap sebagai contoh kepada bangsa-bangsa lain di dunia.

89. Bandingkan negara kita 50 tahun dahulu di waktu kita mencapai kemerdekaan dan negara kita sekarang. Negara dagang yang ke-17 terbesar di dunia. Kemiskinan dikurangkan daripada 70 peratus kepada lima peratus. Bandar sebesar bandar di negara maju, penuh dengan pencakar langit. Bekalan air, api dan kenderaan yang terkini.

90. Pendapatan per kapita yang 20 kali lebih tinggi dari 50 tahun dahulu dan lain-lain.

91. Semua ini adalah hasil kuasa politik semata-mata. Kerana kuasa politik, negara berbilang kaum, ugama, budaya dan bahasa dapat distabilkan. Dan sesungguhnya kita sudah dapat berdiri hampir sama tinggi dengan kaum-kaum lain dan bangsa-bangsa lain.

92. Tetapi sekarang kita lakukan perbuatan untuk menghakis dan menghapus kuasa politik kita.

93. Kerana wang yang sedikit, kerana 100-200 Ringgit kita jual kuasa politik, kita serah nasib kita kepada perasuah, perasuah yang akan jual bangsa dan negara.

94. Apakah akan jadi kepada kita apabila kuasa politik terlucut daripada kita? Apakah kita akan terus merdeka? Saya fikir tidak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

95. Perhimpunan Melayu hari ini memang menjadi hak bagi kita kerana kita menghadapi masalah-masalah yang besar-besar, bukan satu tetapi banyak masalah.

96. Kita semua berasa cemas. Di mana-mana sahaja orang Melayu sedang berhimpun untuk membincang masalah mereka, kecemasan yang mereka rasai.

97. Jika pada hari ini kita dapat menyedarkan akan musibah yang sedang dan akan timpa keatas kita, jika kesedaran ini akan menyebabkan kita bertindak keras terhadap mereka diantara kita yang mencetuskan masalah ini, jika kita dapat bandingkan gejala rasuah yang menjadi ancaman terhadap kita yang terbesar sekali, maka ralatlah perhimpunan ini, berjayalah perhimpunan ini.

98. Saya tak salahkan orang lain. Saya salahkan kita sendiri. Tak mungkin orang lain menguasai kita jika kita tegas dan tidak membenarkan mereka.

99. Maju mundurnya bangsa kita terpulanglah kepada kita. Ingatlah Tuhan tidak akan ubah nasib kita melainkan kita berusaha mengubah nasib kita sendiri.

100. Oleh itu berusahalah mengubah nasib diri sendiri setelah kita berhimpun di sini untuk membincang masalah yang kita hadapi. Saya percaya perbincangan kita akan membuahkan pemikiran dan tindakan yang boleh menyelamatkan kita.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.



Tun Dr. Mahathir Mohamad
22 Mac 2009
Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur



0 Comments:

Post a Comment