Semakin dekat dengan perhimpunan agong, makin banyak perkara panas dibangkitkan. Cukup menarik untuk diikuti dan semestinya perhimpunan agong yang akan berlangsung minggu depan akan dipenuhi beberapa lagi episod panas yang akan timbul sedikit masa lagi.
Bermula dari pertemuan Pak Lah dengan Anwar Ibrahim di Hulu Langat yang "kononnya" perjumpaan yang tidak dirancang tapi secara kebetulan membuatkan pertemuan tersebut berakhir dengan teka teki yang tidak terjawab. Ramai pemerhati politik sedang membaca dan menafsir apakah rancangan yang dirancang yang akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini, adakah melibatkan Najib atau misi lain yang lebih kompleks.
Larangan bertanding atau hilang kelayakan Ali Rustam yang diputuskan oleh Lembaga Disiplin Parti UMNO telah memanaskan lagi episod perhimpunan agong umno yang akan berlangsung. Para penyokong Ketua Menteri Melaka itu sudah semestinya tidak akan duduk diam setelah di "KO" oleh pihak lawannya. Sekurang-kurangnya walaupun Ali dah tewas tapi seboleh-bolehnya lawan yang telah menyebabkan beliau tewas juga harus ditewaskan bersama, kemungkinan itulah yang sedang dirancang oleh penyokong setianya bagi membela nasib seorang ketua.
Zaid Ibrahim pula telah mengemukakan cadangan agar Istana Negara masuk campur berkaitan perlantikan Najib sebagai seorang PM selepas ini dan telah meminta agar Seri Paduka Baginda melantik pengganti Pak Lah nanti daripada anggota parlimen yang boleh diterima rakyat. Sejauh manakah maksud dan tindakan Zaid Ibrahim terhadap kata-kata yang telah diungkapkannya itu?
Politik wang telah menggamatkan pemilihan kali ini, ramai yang telah terperangkap dengan perbuatannya sendiri disebabkan mengejar pengaruh dan kuasa menggunakan kelebihan wang yang dimiliki. Sejauh manakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan bertindak terhadap mereka yang telah disabitkan dengan politik wang serta telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Parti? Masyarakat tertanya-tanya dan ternanti-nanti samada berlaku percanggahan keputusan siasatan daripada kedua-dua pihak tersebut. JIka disabitkan kesalahan, adakah SPRM akan bertindak tegas sepertimana kes-kes rasuah sebelum ini?
Kepercayaan kepada bomoh dan jampi serapah serta tangkal telah membuatkan episod kali ini bertambah menarik. Demi kuasa dan segalanya, ilmu hitam telah digunakan bagi merialisasikan maksud tersirat, siapakah datang yang telah meletakkan bungkusan dan kayu berjampi di bawah meja Presiden UMNO yang telah dijumpai oleh Pasukan Pemusnah Bom di bilik mesyuarat di PWTC hari semalam? Mampukah unit forensik PDRM merungkai siapakah dalang perbuatan syirik tersebut, jika pihak penyiasat dapat mencari mereka yang terlibat maka dikira hebatlah pihak berkuasa dinegara kita iaitu PDRM yang berjaya menyiasat sehinggakan kedunia lain.
Itu semua adalah kejadian yang baru berlaku dalam sehari dua ini, menjelang perhimpunan agong nanti yang akan berlangsung minggu hadapan maka tidak mustahil banyak lagi perkara pelik dan menarik akan timbul. Alahai politik, macam-macam ada...